G25 ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri serta ahli-ahli parlimen atas penerimaan majoriti undian (sebanyak 209 undian) untuk menyokong Undang-Undang Anti Lompat Parti beberapa hari yang lepas, iaitu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti. Menerusi undang-undang baru ini, mana-mana ahli parlimen yang keluar dari sesebuah parti politik dan kemudiannya memindah ataupun melompat ke parti yang lain akan hilang kerusi yang dimenanginya. Ini adalah suatu langkah kehadapan, seperti yang diulaskan oleh ketiga-tiga ahli parlimen dari parti-parti politik yang berbeza semasa perbincangan panel menerusi tv yang diadakan baru-baru ini, untuk memulihkan keyakinan rakyat mengenai proses mengundi dalam Pilihan Raya Umum.
Lompat parti selalunya berlaku dimana seseorang ahli parlimen telah dijanjikan jawatan menteri atau lantikan sebagai duta atau pengerusi dan pengarah GLC. Sepertimana yang telah dikatakan oleh segolongan ahli-ahli politik sebelum ini, undang-undang baru ini akan berhenti mempersendakan pilihan rakyat sebagaimana yang telah berlaku semasa Langkah Sheraton dua tahun yang lalu; suatu langkah yang sangat memalukan yang diatur oleh beberapa ahli parlimen yang menjurus kepada kejatuhan sebuah kerajaan demokratik – Kerajaan Pakatan Harapan.
Undang-undang baru ini memperuntukkan bahawa sekiranya seseorang ahli parlimen itu melompat keluar ke parti yang lain, kerusinya di Parlimen akan diisytiharkan kosong dan sebuah pilihan raya kecil yang baru akan diadakan bagi kawasan tersebut. Perkara ini akan menyingkir sebarang insentif untuk ahli parlimen melompat ke parti yang lain di atas kepentingan diri sendiri. Beliau tidak akan semudah mengambil risiko kerana berkemungkinan tidak akan dipilih rakyat lagi.
Lompat parti boleh melibatkan rasuah dan korupsi. Perlaksanaan undang-undang baru ini adalah satu langkah yang penting terhadap transformasi pilihan raya yang bersih dan terhormat untuk warga Malaysia dan juga dari sudut antarabangsa.
Terdapat transformasi yang lain yang perlu dipercepatkan menerusi Parlimen bagi memperkukuhkan sistem ketelusan institusi dan integriti negara ini dengan tadbir urus yang lebih baik.
Pada minggu yang lepas, pihak Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPG - All-Party Parliamentary Group) telah membuat suatu pengumuman semasa temu bual bersama media di Parlimen bahawa mereka telah menyerahkan satu Rang Undang-undang Persendirian kepada Pejabat Yang di-Pertua atas pengawalan dana sumbangan politik. Rang Undang-undang tersebut telah digubal dengan hasrat untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa, khususnya amalan-amalan korupsi dan tidak beretika semasa membuat sebarang dermaan politik, termasuk sebarang sumbangan dari dermawan asing. Rakyat bimbang dengan amalan amalan sumbang ini setelah mendengar dan diperdedahkan bukti-bukti dan keterangan yang berlangsung di mahkamah dengan kes-kes berprofil tinggi mengenai sumbangan wang untuk pemimpin politik tertinggi.
Kami di G25 menggesa agar Rang Undang-undang Sumbangan Politik tersebut menerima perhatian segera di Parlimen. Kami berharap yang Kerajaan mempercepatkan kelulusannya tanpa berlengah. Ini adalah salah satu transformasi institusi terpenting yang perlu dilaksanakan untuk memulihkan keyakinan sistem demokrasi Parlimen di Malaysia dari sudut tempatan dan juga antarabangsa.
Komentar