Kami ahli-ahli kumpulan G25 menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia turun beramai-ramai mengundi pada 19 November ini demi menunaikan tugas masing-masing sebagai rakyat yang cinta dan taat kepada negara bertuah ini.
PRU15 sangat penting bagi menentukan masa depan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di mana wakil rakyat yang kita pilih adalah calon- calon yang layak bertugas sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri bagi menentukan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna untuk kebahagiaan semua lapisan masyarakat Bangsa Malaysia.
Setiap undi harapnya akan menentukan kerajaan yang rakyat pilih mencerminkan kehendak kita bahawa ianya bersih, jujur dan cekap dengan memberi keutamaan kepada keperluan rakyat terutama sekali mereka yang miskin dan memerlukan bantuan tidak kira bangsa dan agama.
Kerajaan yang bersih di peringkat Persekutuan dan Negeri sangat penting bagi menggalakkan sektor swasta dan seterusnya meningkatkan prestasi ekonomi serta menambahkan lagi peluang kerja berkualiti kepada anak muda semua. Para pelabur sama ada tempatan atau asing amat minat kepada pentadbiran yang bersih dan terbuka kerana ini akan meyakinkan mereka bahawa Malaysia adalah negara yang progresif, adil dan senang untuk membuat perniagaan dan pelaburan kerana pentadbirannya lurus dan tidak kotor dengan rasuah.
Seluruh dunia akan melihat sama ada demokrasi Malaysia masih segar dan kuat. Oleh itu, marilah kita semua turun pada 19 November ini untuk mengundi beramai- ramai demi membina negara yang lebih maju.
G25 Malaysia
Tarikh: 17 November 2022
Comments