Jika benar Farouk A Peru yang kini berada di United Kingdom ada mengeluarkan kenyataan supaya Solat Jumaat di United Kingdom dipindahkan kepada hari Sabtu maka kenyataan itu tidak ada perkaitan dengan pendirian anggota G25. Kami tegas berpendirian bahawa pandangan demikian bercanggah dengan semangat al Quran dalam surah al-Jumaah ayat 9 dan sebuah Hadith yang diriwayat oleh Abu Daud dalam kitab Sunan. Sila lihat maksud ayat al-Quran dan al-Hadith itu;
"Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat,maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli" - Surah Al-Jumaah Ayat 9
Hadith pula mengatakan "Solat jumaat adalah hak yang wajib atas setiap Muslim dengan berjemaah, selain atas empat(golongan): hamba sahaya, wanita, anak kecil, atau orang yang sakit" - Hadith Riwayat Abu Daud, Kitab Sunan Abu Daud
Atas maksud dan prinsip ayat al-Quran dan al-Hadith diatas kami dari G25 menolak dengan sekeras-kerasnya pandangan yang membenarkan solat Jumaat dipindahkan pada hari Sabtu. Ekoran daripada perkara yang sama juga kami merasa sedih dan kecewa kepada kalangan tertentu yang tidak putus-putus menabur fitnah dengan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej G25 dihadapan khalayak umum.
Kami juga kesal gambar Dato’ Noor Farida Ariffin digunapakai untuk mencemar nama baiknya serta juga mencemar semua ahli anggota G25. Ini juga satu fitnah yang besar.
Semoga dengan kenyataan terbuka kami ini segala niat negatif yang terdapat dikalangan pihak tertentu tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.
Sekian terima kasih.
G25 Malaysia