Kami kumpulan G25 menyarankan agar semua parti politik memperjuangkan dua perkara penting di dalam manifesto pilihanraya mereka. Ianya:
a) Memastikan pentadbiran Islam yang sederhana selaras dengan hasrat Perlembagaan Malaysia, demi memelihara kestabilan sosial dan ekonomi negara; dan
b) Menegakkan sistem demokrasi yang terbuka agar wujud urus tadbir yang berteraskan "Rule of Law" serta "Checks and Balance" bagi mengelakkan penyelewangan dan salah guna kuasa.
Semua parti politik harus sedar yang Malaysia akan berhadapan dengan beberapa rintangan dan cabaran kompetitif arena global yang semakin sengit, khususnya dalam usaha membangunkan ekonomi yang berterusan.
Sekiranya Malaysia mengambil langkah yang menggugatkan ketenteraman rakyatnya dengan perlaksanaan dasar yang bercorak ekstremis atau mengenepikan "rule of law", semua ini akan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Banyak tenaga profesional dan kemahiran kita serta wang modal akan mengalir keluar ke negara lain manakala pelabur swasta juga akan rasa gementar dengan masa depan ekonomi.
Kita harus ambil pengajaran dari negara lain yang merosot sehingga menjadi "failed states" kerana kerajaan mereka menggunakan politik agama dan bangsa yang tidak bertimbang rasa dengan hasrat rakyatnya.
Pemimpin pemimpin negara harus memperkenalkan pembaharuan atau reformasi dalam semua bidang pentadbiran kerajaan agar dapat memulih semula maruah negara yang amat terjejas akibat beberapa peristiwa buruk yang berlaku.
G25 menyarankan kesemua parti politik yang bertanding di dalam pilihan raya akan datang agar tidak lagi menggunakan retorik bangsa dan agama dalam manifesto masing-masing.
Rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik perkauman dan ingin lihat politik yang menyatu-padukan semua rakyat sebagai satu bangsa Malaysia.