Demokrasi berparlimen di negara kita telah dicabuli dengan cara yang angkuh sekali apabila ahli-ahli Parlimen terpaksa bersengkang mata sehingga jam 5 pagi pada 6 April 2017 untuk menyelesaikan rang undang-undang (RUU) kerajaan semata-mata untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen Marang, Dato’s Seri Hadi Awang untuk membentangkan rang undang-undang persendiriannya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) (RUU355) pada jam 12 tengah hari, 6 April yang juga merupakan hari terakhir persidangan Parlimen.
Walaupun Speaker telah menghentikan debat selepas ucapan oleh Hadi Awang dan rakannya dari Kota Baru, RUU355 masih belum gagal sepenuhnya. Hadi Awang akan terus memperjuangkan RUU ini, dan sebahagian pendukung RUU ini akan terus menyelar penentang RUU ini dengan meng”kafir”kan mereka yang Muslim dan meng”harbi”kan mereka yang bukan Muslim. RUU355 akan dibentangkan di setiap sidang Parlimen dan berpeluang untuk dipercepatkan oleh menteri, sehinggalah ia akhirnya diluluskan. Oleh itu adalah penting untuk rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap RUU ini, dan ini sebabnya.
Pendukung RUU355 dan agenda peluasan Syariah yang lebih besar telah menggunapakai wacana Nasionalisme Melayu-Muslim dan dekolonisasi sebagai hujah mereka. Mereka mendakwa bahawa sistem undang-undang “common law” di Malaysia yang diwarisi dari pemerintahan British ini dipaksakan ke atas negara ini oleh kuasa asing, manakala undang-undang Syariah adalah sistem yang digunapakai untuk Kesultanan Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu yang seterusnya.
Mereka berhujah bahawa meluaskan penggunaan undang-undang Syariah dapat membebaskan Malaysia dari cengkaman legasi penjajahan dan memulihkan kedaulatan umat Muslim, manakala mempertahankan sistem “common law” menandakan penjajahan minda yang berterusan. Hadi Awang, ketika menyampaikan Amanat Hadi pada tahun 1981, mengecam Barisan Nasional kerana “mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah”.
Pendukung-pendukung RUU355 seterusnya berhujah bahawa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah, yang pada masa sekarang dihadkan kepada maksimumnya 3 tahun penjara, denda RM5,000, dan 6 sebatan rotan (had 3-5-6), yang lebih rendah berbanding dengan bidang kuasa Majistret Kelas Pertama (5 tahun penjara, denda RM10,000, dan 12 sebatan rotan), tidak boleh diterima kerana ia meletakkan Mahkamah Syariah dalam kedudukan yang lebih rendah; dan oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk menaikkan Mahkamah Syariah ke kedudukan yang sekurang-kurang sama dengan Mahkamah Sivil kalau bukan lebih tinggi lagi. Mereka juga menegaskan bahawa RUU ini tidak berkaitan dengan hukuman Hudud dan tidak melibatkan orang bukan Islam, oleh sebab itu orang bukan Islam tidak harus masuk terlibat dalam debat ini.
Kami ingin menyangkal hujah-hujah ini.
Pertama, Malaysia dibentuk pada tahun 1963 sebagai sebuah persekutuan yang terdiri daripada sebuah negara merdeka yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu (bekas naungan British), dan tiga tanah jajahan British iaitu Borneo Utara (kemudiannya dikenali sebagai Sabah), Sarawak, dan Singapura. Bukan sahaja Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan sekular dengan Islam sebagai “agama Persekutuan” memainkan peranan peristidiatan, tetapi yang lebih penting lagi, Sabah dan Sarawak, yang tidak pernah merupakan sebahagian dari ‘Negeri-Negeri Melayu’, amat berbangga dengan warisannya dalam kepelbagaian etnik dan agama. Oleh itu, Malaysia bukanlah Persekutuan Tanah Melayu diperluaskan atau Kesultanan Melaka yang berdasarkan undang-undang Syariah dihidupkan semula.
Sebaliknya,
Malaysia adalah sebuah persekutuan sekular dengan kedaulatan undang-undang yang bertunjangkan warisan Common Law. Tidak benar dikatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan atau Common Law adalah tidak Islamik. Kedua-dua ini memungkinkan Malaysia dibentuk pada 1963 dan masih kukuh sehingga ke hari ini.
Jangan lupa bahawa kebebasan beragama telah ditekankan dan dijamin semasa rundingan pembentukan Malaysia. Hukuman Hudud tidak pernah diletakkan dalam agenda. Jika isu Hudud ditimbulkan, projek Malaysia kemungkinan besar telah ditolak oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan – Dua statut yang menjadi sosial kontrak kepada pembentukan negara kita – mesti dihormati dan dipatuhi.
Kedua, sekularisme bermakna sistem perundangan mesti berdasarkan undang-undang umum yang digunapakai atas semua warganegara manakala undang-undang yang berasaskan agama atau adat boleh digunakan untuk hal ehwal peribadi dan keluarga bagi ahli-ahli komuniti yang berkenaan. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pentadbiran keadilan jenayah harus diuruskan oleh mahkamah sivil di samping membenarkan negeri-negeri untuk “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara dalam Senarai Persekutuan”. Maka, had 3-5-6 yang diperuntukkan oleh Akta 355 – digubal pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984 – adalah setimpal dengan skop terhad kesalahan Syariah dan bersesuaian dengan kerangka sekular Perlembagaan Persekutuan.
Had baru yang dicadangkan oleh RUU Hadi – 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan (had 30-100-100) – hampir mencapai bidang kuasa jenayah di Mahkamah Sesyen, iaitu semua hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang melainkan hukuman mati.
Apabila jenayah berat seperti merompak hanya boleh dihukum oleh Mahkamah Sesyen dengan hukuman maksimum 14 tahun penjara dan denda atau sebat, apa jenis salahlaku bersifat agama oleh orang Muslim yang harus dihukum dengan 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan?
Ke mana perginya prinsip perkadaran yang amat penting dalam keadilan jenayah?
Ketiga, dakwaan bahawa RUU355 tidak ada kena-mengena dengan hukuman Hudud adalah satu pembohongan yang besar. Jika ia diluluskan dalam versi sedia ada, RUU ini akan serta-merta membenarkan pelaksanaan tiga hukuman Hudud di Kelantan dan Terengganu – 100 sebatan rotan untuk zina, 80 sebatan rotan untuk qazaf (tuduhan tidak terbukti mengenai zina dan liwat), dan 40-80 sebatan untuk minum arak. Ditambah dengan perkadaran yang tidak seimbang antara hukuman dan jenayah, tiga hukuman Hudud ini akan secara dasarnya mengubah sifat sekular sistem undang-undang sedia ada. Ini bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan, ia juga menghakis asas moral Malaysia sebagai sebuah persekutuan secular.
Keempat, intipati syariah adalah demi mencapai keadilan, rahmah sifat belasan, dan kesejahteraan manusia, bukannya untuk memenuhi perasaan bangga diri sebagai umat Islam. Aspirasi sejagat untuk mencapai keadilan adalah serasi dengan Rahmatan lil Alamin (rahmat bagi seluruh alam) yang dijanjikan oleh Islam. Usaha mulia untuk menegakkan keadilan Syariah harus menumpu kepada pencapaian Maqasih Syariah (maksud atau tujuan syariah) dan bukannya asyik untuk menjatuhkan hukuman seberat-beratnya sehingga seringkalinya tanpa mengambil kira konteks semasa. Mahkamah Syariah boleh dan patut diperkuatkan dalam banyak aspek, dari personel ke proses pengadilan sehinggalah ke penguatkuasaan keputusannya. Usaha patut dibuat untuk memperkenalkan idea-idea Maqasid Syariah yang relevan dan sejagat ke dalam fahaman undang-undang kita agar undang-undang kita menjadi lebih adil dan rahmah, dan bukannya menolak sistem undang-undang Common Law kita sebagai sistem “kafir” lalu memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya dapat berasa bangga sebagai umat Muslim.
Kelima, propaganda bahawa RUU355 tidak akan mempengaruhi orang bukan Islam adalah menyesatkan dan tidak jujur. Apabila timbul persoalan sama ada seseorang itu orang Muslim atau tidak, mahkamah sivil telah melepaskan kuasa penghakiman ke tangan Mahkamah Syariah. Telah banyak berlaku insiden di mana Orang Asli dan Orang Asal didaftarkan secara salah sebagai orang Muslim, insiden pengislaman anak-anak oleh satu pihak apabila salah seorang dari pasangan suami isteri bukan Muslim memeluk Islam, insiden merampas mayat oleh pihak berkuasa agama yang mendakwa bahawa yang meninggal adalah orang Muslim walaupun tanpa bukti kukuh. Memeluk Islam adalah mudah namun untuk keluar Islam adalah hampir mustahil. Dalam keadaaan sebegini, hujah bahawa undang-undang Syariah tidak mempengaruhi orang bukan Muslim adalah amat lemah.
Keenam, debat berkenaan pelaksanaan Syariah mesti bersifat terbuka dan penentang tidak harus dilabel “kafir harbi” atau “murtad”. Moratium ke atas Hudud dan hukuman berbentuk penderaan yang lain di dunia hari ini, yang diusulkan oleh agamawan ternama Tariq Ramadan, mesti diiktiraf sebagai salah satu pandangan yang absah. Jika penentangan terhadap RUU355 tidak mendapat ditoleransi sekarang jua, apa lagi ruang yang ada untuk berbeza pendapat jika ia diluluskan pada masa akan dating?
Kami menyeru semua rakyat Malaysia mempertahankan Malaysia sebagai sebuah persekutuan sekular sepertimana yang diingini dan diasaskan oleh pemimpin kita pada tahun 1963. Kami menolak sekeras-kerasnya taktik “pecah dan perintah” yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu. Propaganda bahawa RUU355 hanya mempengaruhi Semenanjung Malaysia kerana Sabah dan Sarawak tidak melaksanakan hudud adalah menyesatkan dan tidak jujur kerana ia tidak mengambil kira fakta bahawa ratusan ribu orang Muslim dari Sabah dan Sarawak yang belajar, bekerja, tinggal atau melancong di Semenanjung Malaysia. Apabila RUU ini diluluskan, mereka tidak akan terkecuali dari tiga hukuman hudud di Kelantan dan Terengganu atau hukuman maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan 100 sebatan yang berkemungkinan diikuti di negeri-negeri lain di Semenanjung. Mereka yang terkecuali dari undang-undang Syariah hanyalah Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang hanya boleh diadili oleh Mahkamah Khas di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan, bukannya orang Muslim dari Sabah dan Sarawak.
Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang memperjuangkan pembentukan Malaysia tidak berjuang untuk sebuah persekutuan di mana hukuman bagi salah laku peribadi orang Muslim boleh dihukum lebih berat dari merompak. Mengubah kontrak perkahwinan secara bersendirian selepas 54 tahun dengan sebuah RUU yang tidak munasabah adalah salah dari segi moral dan bahaya dari segi politik. Mereka yang memudaratkan kesejahteraan Persekutuan Malaysia untuk meraih undi akan dikutuk selama-lamanya.
Demi Malaysia, dan demi mempertahankan negara kita sebagai sebuah persekutuan sekular, kita mesti tolak RUU355.
Penandatangan:
Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, mantan Naib Pengerusi SUHAKAM, Sabah
Datuk Dr Johan Arriffin A. Samad, mantan Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, ahli G25, Sabah
Datuk Amin Satem, ahli G25, Sarawak
Datuk Donald Peter Mojuntin, Setiausaha Agung UPKO, mantan Pembantu Menteri Kewangan, Sabah
Datuk James Ligunjang, mantan ADUN, Sabah
Datuk Jema Khan, mantan Ketua Pemuda UMNO Negeri, usahawan, Sabah
Datuk Stan Yee, mantan Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu, Sabah
Datin Fazar Arif, Sabah
YB Baru Bian, ADUN Bakelalan, Pengerusi PKR Negeri, Sarawak
Haji Amde Sidik, Timbalan Presiden SAPP, ahli akademik, Sabah
Haji Ramlee Dua, mantan ADUN, mantan Pegawai Daerah, Sabah
Adrian Yong, mantan CEO syarikat, Sabah
Asgari Stephens, ahli G25, usahawan, Sabah
Jannie Lasimbang, Ketua Wanita DAP Negeri, mantan Pesuruhjaya SUHAKAM, Sabah
Karen Shepherd, aktivis Sarawak 4 Sarawak, penulis, Sarawak
Kartina Salleh Sulong, peguam, Sabah
Marinah Harris Salleh, usahawan, Sabah
Peter John Jaban, aktivis Sarawak 4 Sarawak, Sarawak
Valentine Willie, mantan Presiden Persatuan Undang-undang Sabah, Sabah