JIKA Nazri Aziz diberi peluang bertindak mengikut cara beliau, Umno tidak akan terlibat dengan rang undang-undang Parlimen yang dibawa PAS untuk meningkatkan hukuman kesalahan Syariah yang dikenali sebagai "RUU355".
Bekas menteri undang-undang dan hal ehwal Parlimen yang lantang bersuara itu berkata, rang undang-undang itu tidak akan mendapat layanan istimewa sebagaimana yang berlaku, di mana ia disegerakan dan dibacakan di Dewan Rakyat – sesuatu yang jarang berlaku bagi rang undang-undang yang dibawa pihak pembangkang.
Nazri, ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau tidak bersetuju dengan rakan parti dan pemimpin kanan yang menyokong rang undang-undang itu yang bersandarkan demi kepentingan untuk menegakkan Islam.
Nazri percaya pendekatan mesra PAS oleh Presiden Najib Razak dan ahli lain dalam Umno semata-mata "kenyataan politik" yang tidak menggambarkan tujuan sebenar parti dan gembira apabila Barisan Nasional (BN) membatalkannya selepas ditentang sekutunya.
Pemimpin berusia 63 tahun bercakap kepada The Malaysian Insight di luar Dewan Rakyat semalam bagi menggariskan sebab mengapa beliau menentang rang undang-undang itu sebagai kepunyaan kerajaan.
Faktor paling penting kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu adalah rang undang-undang itu memecahbelahkan gabungan BN.
Bagi Nazri, perasaan parti gabungan seperti MCA, MIC dan mereka dari Malaysia Timur jauh lebih penting berbanding kerjasama dengan PAS, yang dipimpin Presiden Abdul Hadi Awang yang pernah melabel Umno kafir.
RUU355 pertama kali dibawa ke Parlimen pada April 2015 oleh Hadi yang juga ahli Parlimen Marang. Rang undang-undang itu bertujuan memberi mahkamah Syariah negeri kelonggaran dalam mengenakan hukuman lebih berat terhadap orang Islam yang ditangkap atas kesalahan seperti pengambilan alkohol dan berzina.
Ia segera menyebabkan ribut bantahan daripada bukan Islam dan beberapa ahli Parlimen Islam yang mendakwa PAS cuba melaksanakan versi Kanun Keseksaan Syariahnya sendiri atau "hudud" melalui tindakan undang-undang yang sah – dengan meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengehadkan hukuman bagi kesalahan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Sebab kedua Nazri menentang penglibatan Umno dalam rang undang-undang ini kerana ia tindakan sia-sia untuk menggembirakan PAS. Ini kerana pada pilihan raya nanti, parti Islam itu akan menjadi saingan terbesar Umno bagi undi orang Islam.
Berikut adalah petikan temu bual itu:
S: Sebagai bekas menteri undang-undang apa pandangan anda mengenai RUU355?
A: Saya sentiasa berkata perkara itu lebih berkaitan dengan PAS berbanding kita. Tetapi apabila mereka mahu membawa rang undang-undang ke Parlimen mereka memerlukan sokongan BN kerana sekutu mereka tidak bersetuju dengannya. Tetapi ia usul PAS.
Tetapi apabila kita bermesyuarat dalam Majlis Tertinggi BN, kami bimbang undang-undang Syariah menjalar ke dalam sistem undang-undang kita, perlahan-lahan.
Itu adalah pandangan parti komponen kami. Jadi kami membuat keputusan kerana parti komponen tidak bersetuju dengannya dan kerana tidak mahu memecahbelahkan BN, kami mengambil keputusan tidak membawanya sebagai rang undang-undang kerajaan dan menyerahkan ia semula kepada PAS. Bagi saya, ia langkah yang betul kerana kepentingan BN mesti diutamakan.
Usul Hadi itu jelas menunjukkan PAS gagal melaksanakan Islamisasi di Kelantan. Jika mereka berjaya, penduduk Kelantan akan akur dengan undang-undang Syariah. Mengapa mereka perlu meningkatkan enam rotan kepada 100? Jika anda menaikkannya, maka ia bermakna anda sudah gagal.
Rakyat Kelantan tidak takut (undang-undang Syariah anda). Sebagai contoh rakyat Kelantan tidak takut meminum arak kerana mereka hanya akan menerima enam sebatan. Atau, sebagai contoh, mereka tidak takut terlepas solat Jumaat setiap minggu kerana mereka akan hanya menerima enam rotan. Jika PAS perlu meningkatkan hukuman enam kepada 100 kali, ia bermakna rakyat Kelantan tidak takut.
Mereka gagal memastikan rakyat Kelantan tidak terlepas solat Jumaat atau minum arak, mereka perlu meningkatkan hukuman 100 rotan. Disebbakan rakyat Kelantan tidak takut, PAS perlu membawa RUU355.
Ini masalah PAS, bukan kita.
S: Tetapi ada di antara rakan Umno mahu kerajaan membawa rang undang-undang ini?
A: Sesetengah pihak dalam Umno tidak faham. Mereka tidak memahami dan berasa perlu melakukannya atas nama menegakkan Islam, tanpa benar-benar memahami (isu ini).
Sejak 40 tahun lalu (sejak Akta Syariah 1965 dilaksanakan) kita membenarkan Mahkamah Syariah menghukum dengan enam rotan dan kita tidak rasa ia bertentangan dengan Islam. Justeru, mengapa sekarang apabila kita tidak menyokong RUU355, kita membelakangkan Islam?
Ada kalanggan orang Umno berasa kalau tidak menyokongnya, ia salah dari segi Islam. Saya rasa ia tidak salah.
Selama 52 tahun kita tidak berasa salah menghukum pesalah dengan enam rotan, mengapa sekarang pula kita berasa bersalah? Islam adalah selama-lamanya, bukan untuk masa tertentu sahaja.
Ada yang mengatakan ini kehendak agama, jadi kita perlu sokong. Pada saya, ini bukan kehendak agama, ini kehendak politik PAS. Ini yang pertama.
Kedua, ada di kalangan Umno berasa kita perlu bekerjasama dengan PAS. Saya tidak bersetuju kerana PAS adalah parti politik bukannya pertubuhan Islam.
Saya ingin bertanya kepada ahli Umno yang ingin bekerjasama dengan PAS, pada pilihan raya nanti bagaimana kita hendak duduk berbincang dengan PAS mengenai kerusi?
Adakah kita akan menyerahkan Kelantan atau Terengganu kepada PAS? Ini politik.
Apa kerjasama yang anda maksudkan? Apakah semasa pilihan raya nanti mereka tidak akan bertanding melawan kita? Tidak mungkin.
Masalahnya ialah, kita akan berhadapan PAS di kerusi yang ditandingi kerana sasaran kita adalah sama, Melayu Islam. Jika kita mahu bekerjasama, kita perlu mengagihkan kerusi. Saya minta maaf, tetapi saya tidak dapat menerimanya.
Ini kerana sukar untuk saya meyakinkan ahli Umno di peringkat bawah. Kehidupan seharian mereka tidak bertegur sapa dengan ahli PAS, dimaki hamun. Tiba-tiba pemimpin di atas berjabat tangan dan memberitahu rakyat di bawah untuk melakukan perkara yang sama? Ia sukar.
Selama bertahun-tahun, PAS memanggil kita kafir hinggakan masjid dan imam perlu berbeza. Sekarang anda mahu berjabat tangan dan menjadi kawan? Ia bukan mudah. Tidak mungkin. Bagi saya, tidak ada bentuk kerjasama kerana PAS parti politik
PAS sendiri mempunyai masalah dengan serpihannya, Amanah. PAS bukan pertubuhan yang dipimpin Nabi Muhammad.
S: Kita lihat dalam dua tahun lepas lebih ramai pemimpin Umno mahu bekerjasama dengan PAS, termasuk presiden dan timbalannya. Pada perhimpunan Umno 2016, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada rakan dalam PAS kerana menyokong bajet kerajaan.
A: Itu satu kenyataan politik. Bolehkah anda mengambil kenyataan politik secara serius?
S: Adakah anda tidak bersetuju ketika itu dengan presiden dan orang lain dalam parti?
A: Ia adalah satu kenyataan politik. Bagi saya ia adalah satu kenyataan politik. Tetapi saya tidak bersetuju dengan kerjasama dengan PAS. Kami akan tetap berasingan. Jika bekerjasama bermaksud kita akan berpecah, tidak perlulah.
Saya lebih menghargai kerjasama dan sumbangan rakan komponen kami. Saya tidak pernah anggap PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Jika kita mengakuinya, bagaimana pula dengan kita? Bagaimana pula dengan Umno? Adakah kita akan mengakui Umno tidak (berjuang untuk Islam)?
S: Adakah mengekalkan sokongan daripada parti komponen BN punca mengapa kerajaan menolak mengambil rang undang-undang itu?
A: Kita menghargai sumbangan parti komponen seperti MCA, MIC, parti Kadazan dan Dayak. Mereka meletakkan harapan menggunung kepada Umno untuk menjaga golongan minoriti. Itu lebih penting bagi saya daripada PAS yang selama ini melawan kita.
Rakan bukan Islam kami tidak pernah mengkafirkan kita. Siapa mengkafirkan kita? Bolehkah kita lupakan? Saya tidak boleh lupa. Orang yang sama kini menjadi presiden PAS.
Musang tidak boleh bertukar menjadi ayam dalam sekelip mata. Saya seorang ahli politik yang praktikal.
Saya tidak takut jika mereka mengatakan saya akan terima hukuman kerana tidak menyokong RUU355. Saya berkata, sejak bilakah mereka menjadi Tuhan? Adakah anda hendak mengambil alih tugas Tuhan?
S: Adakah terdapat kebimbangan dalam BN, terutamanya apabila parti Sabah dan Sarawak berkata, jika Umno membawa rang undang-undang itu, mereka akan meninggalkan gabungan?
A: Sudah tentu. Mereka lebih penting. Perpaduan rakyat Malaysia lebih penting kepada saya daripada menyenangkan PAS, yang sentiasa menjadi musuh politik kita. Apakah anda bermaksud mengatakan selepas bertahun-tahun menyokong kami (daripada sekutu BN) anda boleh meninggalkan mereka begitu sahaja kerana (PAS)?
Ingat pada 1974, PAS juga dalam gabungan kami dan ia adalah kegagalan. Apa yang membuatkan anda fikir ia akan berjaya sekarang? Kita perlu belajar daripada sejarah.
S: Anda antara segelintir orang Umno yang tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS, tetapi ramai ahli Umno yang lain bersetuju berbuat demikian.
A: Adakah anda fikir saya peduli? Saya tidak peduli. Sama seperti terdapat ramai ahli Umno yang tidak menyokong saya dalam perbahasan ini (dengan Dr Mahathir Mohamad). Saya tidak peduli. Sejak bila saya peduli?Saya masih di sini, gagah seperti dahulu. Saya sedang melakukan perkara yang betul. Bukan untuk saya tetapi untuk rakyat Malaysia yang dikasihi. – 5 April, 2017.