Pada pendapat saya, maruah dan kemuliaan kepimpinan Melayu dalam pengurusan negara wajar dipertingkatkan. Ia menjadi landasan untuk memperkukuhkan nilai-nilai murni agar pucuk pimpinan serta tokoh-tokoh yang mentadbir-urus negara, menumpu segala tenaga badan dan pemikiran mereka kepada usaha yang lebih berkesan untuk memperbaiki keadaan dan kesejahteraan rakyat jelata serta membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Adalah lebih bermakna jika masyarakat dapat menikmati kualiti pendidikan dan kesihatan yang lebih baik, serta peluang pekerjaan dapat dijana dan diperluaskan. Peningkatan taraf hidup golongan miskin di kawasan luar bandar boleh diperbaiki dengan menambah pelaburan serta infrastruktur, agar keadaan sosial dan ekonomi mereka digemburkan. Inilah usaha Kerajaan yang prihatin dan peka terhadap keperitan kehidupan orang miskin yang sekadar mencari rezeki kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Penambahbaikkan inilah yang melambangkan kepimpinan Islam yang murni, dan bukan Rang undang-undang 355 (RUU 355).
RUU 355 tidak memperjuangkan Kerajaan dan keadaan yang lebih baik untuk masyarakat kita dari segi. Usul Persendirian ini mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah 355 (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Ia adalah sekadar gimik politik yang akan memecah-belahkan rakyat, merosotkan iklim perniagaan swasta, dan menakutkan pelabur asing yang sentiasa gelisah, menanya-nanya apa lagi yang hendak diislamkan dan apa pula akan terjadi kepada sistem demokrasi berpelembagaan di negara majmuk ini.
RUU 355 tidak menitik beratkan masalah- masalah dan isu-isu sosial dan ekonomi patut ditadbir-urus dengan baik. Hudud tidak wajar dilaksanakan di sebalik penambah-baikkan keperluan asas yang terabai. Ia juga tidak wajar didokong di kala mendapat tentangan ramai. Undang-undang Islam tidak boleh dipaksa ke atas seseorang untuk menerimanya, sebaiknya ia diilhamkan melalui pengajaran. Ia memerlukan pendekatan yang lembut dan lunak melalui hujah-hujah berilmiah yang berpegang kepada prinsip-prinsip Islam yang menegakkan keadilan, belas-kasihan, keampunan, kerahmatan dan keharmonian.
Mufti Perlis, Dr MAZA baru-baru ini berkata, “Dalam masa yang sama kita melupai intipati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara. Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama indeks rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi.”
Kita perlu sedar yang ia bukan senang untuk meningkatkan ekonomi negara dan rakyat. Buat masa ini, sistem berparlimen yang sedia-ada wajar diamati, khususnya sistem perundangan jenayah yang berselari dengan konsep kehakiman seluruh dunia. Sistem yang wujud di bawah Perlembagaan Persekutuan diterima sebagai yang tersesuai bagi negara kita yang berbilang kaum. Di waktu ini RUU 355 adalah satu kejutan yang tidak dapat diterima ramai sebagai sistem yang akan mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk masyarakat majmuk kita. Hakikatnya, ia merumitkan dan boleh membawa padah dan parah kepada negara yang kita terpenat-lelah membina dan dimaju-giatkan selama ini.
Kita harus berwaspada dan tidak menggadaikan masa depan anak-anak kita kerana kerana taksub dengan janji-janji yang, indah khabar dari rupa, manis dibibir rupanya mainan politik sahaja.