G25 amat kesal dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung dengan DAP dan kafir harbi. Pada kami kenyataan Mufti Pahang ini amat merbahaya, mengelirukan dan bercanggah dengan semangat perlembagaan persekutuan. Kami menyatakan demikian berasaskan fakta-fakta berikut:
Istilah kafir harbi adalah istillah yang merujuk kepada orang-orang kafir yang derhaka kepada Negara bangsa Madinah dalam zaman Rasulullah SAW dahulu. Jiwa Negara bangsa majmuk Madinah yang dibina Rasulullah SAW dan para sahabat pada keseluruhannya berasaskan semangat Al-Quran Surah Al Saba’ ayat 15 yang membawa erti kepada “sebuah Negara yang baik dan diampuni oleh Allah SWT” secara komprehensif.
Sudah tentu jiwa dan semangat Negara bangsa demikian banyak berbeza dengan jiwa dan semangat Negara bangsa majmuk Malaysia kini. Mufti Pahang dan juga ulama lain perlu memahami bahawa dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan semenjak merdeka, DAP dan semua parti politik, bahkan semua kumpulan sukarelawan diberi kebebasan menyuarakan agenda perjuangan masing-masing asalkan ia tidak menderhaka kepada Raja dan Negara dan tidak melanggar perundangan negara samada jenayah atau keselamatan dalam negeri. G25 tidak nampak parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat atau "civil society" menjalankan aktiviti yang melanggar perlembagaan negara dan undang-undang di bawahnya. Sesungguhnya perjuangan mereka dan juga perjuangan G25 untuk menegakkan prinsip-prinsip "good governance" dan hak kebebasan manusia yang lengkap dengan ciri-ciri positif seperti integriti, ketulusan dan bertanggungjawab atau "integrity, transparency and accountability" adalah sifat-sifat murni yang disanjung tinggi oleh Islam demi menjamin keamanan dan kemakmuran negara dan rakyatnya. Pucuk kepimpinan Negara dan DYMM Yang di-Pertuan Agong sendiri telah beberapa kali mengakui bahawa prinsip-prinsip murni ini perlu diamalkan dan ditanam di dalam sistem pentadbiran kerajaan.
Nyata sekali DAP adalah sebuah Parti politik yang sah dan halal di sisi perlembagaan negara. Menuduh parti ini kafir harbi yang pula kalaulah dilihat secara literal dan sepintas lalu boleh membawa maksud kepada parti yang derhaka kepada negara bangsa tanpa fakta-fakta secara holistik dan konkrit. Justeru kerana itu, tuduhan demikian adalah suatu tuduhan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Ironinya tuduhan demikian datang daripada seorang yang berkedudukan tinggi dalam agama seperti Mufti.
Yang terlalu membimbangkan, tuduhan Mufti Pahang ini adalah sama dengan seruan kumpulan militan seperti Islamic State (IS), yang menggunakan agama sebagai alat pengganasan mereka untuk merampas kuasa dan mendirikan sistem kerajaan mengikut fahaman Islam ekstremis. Mengikut kumpulan seperti ini, adalah halal mengambil darah orang agama lain atau mereka yang mempunyai fikiran lain tentang Islam. Kefahaman ini sangat merbahaya bagi negara kita yang berbilang kaum dan agama dan justeru itu, pihak kerajaan khususnya polis perlu mengambil tindakan keras dengan segera.
Berasas kepada fakta-fakta di atas, G25 meminta pihak berkuasa khususnya pihak Polis memandang serius terhadap kenyataan Mufti Pahang ini. Kami berharap kenyataan yang negatif yang boleh mengundang provokasi di antara kaum dan agama seperti ini tidak berulang lagi di negara kita yang tercinta ini.