Farida disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung seruan mengkaji semula undang-undang berkenaan khalwat.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak pemerintah supaya mengambil tindakan yang perlu bagi menegakkan hak wanita untuk meluahkan dan menyuarakan pendapat tanpa diskriminasi atau rasa takut.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata ancaman berbaur seks terhadap jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, yang disusuli dengan siasatan polis terhadap bekas diplomat itu menunjukkan masih banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai Negara Pihak kepada CEDAW, Kerajaan perlu terus komited untuk membuat perubahan dalam dasar dan undang-undang selaras dengan cabaran semasa untuk memenuhi keperluan bagi mencapai kesaksamaan gender dan penghapusan segala bentuk diskriminasi, termasuk keganasan terhadap wanita,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT pada Selasa.
Farida disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung seruan mengkaji semula undang-undang berkenaan khalwat.
Mengulas lanjut, Suhakam mengutuk ancaman yang diterima Farida oleh seorang pengguna Facebook, Sharul Nizam Ab Rahim, yang dilaporkan berkata mahu “memecah masuk rumah Noor Farida, berbaring di atas katilnya dan ‘mencuba’ beliau”.
Sharul, menurut laporan media, menjelaskan tindakannya itu berupa sindiran demi mempertahankan undang-undang syariah.
“Tiada tolak ansur wajar diberikan terhadap ancaman seperti ini atau ditangani tanpa dikenakan sebarang hukuman,” tegas Hasmy.